Thursday, April 22, 2010

HORMATI KUASA MUTLAK RAJA-RAJA MELAYU


Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, bertitah bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa-kuasa mutlak dalam urusan agama Islam dan adat Melayu di semua negeri dan sempadan pembahagian kuasa itu perlu dipatuhi oleh semua pihak.
"Kuasa mutlak Paduka Seri Sultan dalam urusan agama Islam dan adat Melayu dalam sesebuah negeri hendaklah terus dipertahankan," titah baginda.
Oleh yang demikian, titah baginda, pandangan dan pendirian Raja-Raja Melayu perlu terlebih dahulu dirujuk dalam apa juga perkara berkaitan agama Islam dan adat Melayu sebelum sesuatu fatwa, dasar, arahan pentadbiran atau penubuhan sebarang institusi diputuskan atau diumumkan.
"Janganlah pandangan Raja-Raja Melayu itu hanya dirujuk dan dipohonkan restu sokongan apapila masalah dan polemik telah terjadi," titah baginda.
Baginda berkenan hadir ke majlis perasmian persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Ipoh, Perak.
"Jika prinsip asas ini mula diketepikan, adalah dibimbangkan ia berpotensi menjadi pencetus kepada salah faham, kekeliruan dan pergeseran di antara pelbagai pihak yang bertanggungjawab," titah baginda.
Dalam pada itu, Raja Dr Nazrin turut menegaskan bahawa salah satu tugas utama Majlis bagi membantu tanggungjawab Sultan Perak dalam hal ehwal adat Melayu dan agama Islam yang dihayati di peringkat pengetahuan dan diterapkan secara berkesan diperingkat perlaksanaan berperanan penting untuk mencerminkan budaya urus tadbir, budaya kerja dan urusan pemerintahan yang adil, saksama, telus lagi cekap.

0 comments: