Tuesday, March 30, 2010

PEMANGKU RAJA PERAK RASMI SIDANG DUN

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan hadir di Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang DUN Perak Penggal Ketiga yang Ke-12 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan di sambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta isterinya.
Baginda bertitah kebijaksanaan kepimpinan adalah satu kemestian bagi sesebuah kerajaan untuk membolehkan ia mengimbangi keperluan rakyat yang berlatarbelakang pelbagai agama, budaya, etnik dan tahap pencapaian ekonomi.
Secara keseluruhan keadaan persidangan DUN Perak juga berjalan dengan lancar dan terkawal.

Thursday, March 25, 2010

TENGKU FARIS KEKAL PEMANGKU RAJA KELANTAN


Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra tetap sabar dan masih mampu tersenyum walaupun menghadapi kemelut Pemangku Raja melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan.
Tengku Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga Majlis Perajaan Negeri membuat keputusan mengikut undang-undang.
Majlis Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran semperna Hari Keputeraaan Sultan Kelantan 30 Mac 2010 di Istana Balai Besar Kelantan akan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.

PERLANTIKAN TIDAK SAH

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Hamzah, sebagai Pemangku Raja Kelantan yang baru adalah tidak mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, masih kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Wednesday, March 24, 2010

TENGKU ABDUL AZIZ DILANTIK PEMANGKU RAJA KELANTAN

Tengku Muhammad Faris Petra ditamatkan sebagai Pemangku Raja Kelantan berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dilantik sebagai Pemangku Raja yang baru.
Perisytiharan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud.

TUANKU MIZAN ZIARAH JENAZAH SULAIMAN DAUD

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, berangkat menziarah jenazah bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Dr Sulaiman Daud yang meninggal dunia kerana sakit kanser hati. Ketibaan Seri Paduka baginda di kediaman Allahyarham di Lorong Lai Tet Lok Off Jalan Gurney disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menziarah jenazah.

MUHYIDDIN TERIMA DARJAH SERI UTAMA


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menerima Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama Di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengurniakan darjah kebesaran ini kepada Muhyiddin Yassin semperna Hari Keputeraan baginda yang ke-62 pada 14 Januari 2010 lalu.
Turut berangkat pada istiadat darjah kebesaran ini, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tuanku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tuanku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Hassan serta isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumudin, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan.
Timbalan Perdana Menteri dan isteri kemudiannya menghadiri majlis santapan bersama Tuanku Muhriz dan tetamu jemputan yang hadir di Bilik Santapan sebelum berangkat pulang.

Tuesday, March 23, 2010

TUANKU MUHRIZ DIANUGERAH D.K KELANTAN


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menerima anugerah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati D.K. Kelantan (Al-Yunusi) daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.
Anugerah ini disampaikan oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa’iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang mewakili Pemangku Raja Kelantan pada istiadat yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti.
D.K Kelantan merupakan anugerah peringkat tertinggi yang dianugerahkan atau dikurniakan kepada Raja-Raja Melayu atau sesiapa yang dirasakan layak oleh Sultan ataupun Pemerintah Negeri Kelantan.
Penganugerahan D.K Kelantan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ini mencerminkan satu hubungan yang rapat di antara negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan hubungan yang rapat di antara dua institusi diraja khususnya.
Rombongan Tengku Bendahara Kelantan tiba di Istana Besar Seri Menanti dengan diiringi oleh Tengku Seri Jaya Raja Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias.
Turut hadir menyaksikan istiadat penganugerahan itu ialah anggota Exco Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Razi Kail, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad.