Tuesday, March 30, 2010

PEMANGKU RAJA PERAK RASMI SIDANG DUN

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan hadir di Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang DUN Perak Penggal Ketiga yang Ke-12 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan di sambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta isterinya.
Baginda bertitah kebijaksanaan kepimpinan adalah satu kemestian bagi sesebuah kerajaan untuk membolehkan ia mengimbangi keperluan rakyat yang berlatarbelakang pelbagai agama, budaya, etnik dan tahap pencapaian ekonomi.
Secara keseluruhan keadaan persidangan DUN Perak juga berjalan dengan lancar dan terkawal.

Thursday, March 25, 2010

TENGKU FARIS KEKAL PEMANGKU RAJA KELANTAN


Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra tetap sabar dan masih mampu tersenyum walaupun menghadapi kemelut Pemangku Raja melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan.
Tengku Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga Majlis Perajaan Negeri membuat keputusan mengikut undang-undang.
Majlis Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran semperna Hari Keputeraaan Sultan Kelantan 30 Mac 2010 di Istana Balai Besar Kelantan akan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.

PERLANTIKAN TIDAK SAH

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Hamzah, sebagai Pemangku Raja Kelantan yang baru adalah tidak mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, masih kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Wednesday, March 24, 2010

TENGKU ABDUL AZIZ DILANTIK PEMANGKU RAJA KELANTAN

Tengku Muhammad Faris Petra ditamatkan sebagai Pemangku Raja Kelantan berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dilantik sebagai Pemangku Raja yang baru.
Perisytiharan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud.

TUANKU MIZAN ZIARAH JENAZAH SULAIMAN DAUD

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, berangkat menziarah jenazah bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Dr Sulaiman Daud yang meninggal dunia kerana sakit kanser hati. Ketibaan Seri Paduka baginda di kediaman Allahyarham di Lorong Lai Tet Lok Off Jalan Gurney disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menziarah jenazah.

MUHYIDDIN TERIMA DARJAH SERI UTAMA


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menerima Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama Di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengurniakan darjah kebesaran ini kepada Muhyiddin Yassin semperna Hari Keputeraan baginda yang ke-62 pada 14 Januari 2010 lalu.
Turut berangkat pada istiadat darjah kebesaran ini, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tuanku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tuanku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Hassan serta isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumudin, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan.
Timbalan Perdana Menteri dan isteri kemudiannya menghadiri majlis santapan bersama Tuanku Muhriz dan tetamu jemputan yang hadir di Bilik Santapan sebelum berangkat pulang.

Tuesday, March 23, 2010

TUANKU MUHRIZ DIANUGERAH D.K KELANTAN


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menerima anugerah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati D.K. Kelantan (Al-Yunusi) daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.
Anugerah ini disampaikan oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa’iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang mewakili Pemangku Raja Kelantan pada istiadat yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti.
D.K Kelantan merupakan anugerah peringkat tertinggi yang dianugerahkan atau dikurniakan kepada Raja-Raja Melayu atau sesiapa yang dirasakan layak oleh Sultan ataupun Pemerintah Negeri Kelantan.
Penganugerahan D.K Kelantan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ini mencerminkan satu hubungan yang rapat di antara negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan hubungan yang rapat di antara dua institusi diraja khususnya.
Rombongan Tengku Bendahara Kelantan tiba di Istana Besar Seri Menanti dengan diiringi oleh Tengku Seri Jaya Raja Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias.
Turut hadir menyaksikan istiadat penganugerahan itu ialah anggota Exco Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Razi Kail, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad.

Sunday, March 21, 2010

SULTAN KELANTAN MAMPU LAFAZ

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bahru dimaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra didakwa berkemampuan membuat keputusan termasuk melafazkan perkataan cerai, ini berdasarkan keterangan tiga doktor pakar dari Singapura melalui satu surat bertarikh 1 Feb 2010.
Sultan Kelantan didakwa telah menjatuhkan talak tiga terhadap Cik Puan Elia Suhana Ahmad pada 12 Feb 2010 ketika baginda sedang dirawat di Hospital Mount Elizabeth.

Cik Puan Elia Suhana mengakui melalui detik hari-hari yang menyedihkan apabila tidak berpeluang berada di sisi suami ketika baginda sedang gering.


MUZIUM LUKUT TERIMA KUNJUNGAN TUANKU MUHRIZ

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat melawat Muzium Lukut semperna Majlis Menjunjung Kasih.
Ketibaan baginda yang turut diiringi Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail serta barisan Exco kerajaan negeri.
Turut berangkat, dua anakanda baginda Tuanku Besar Seri Menanti, Tuanku Ali Redhauddin dan Tuanku Zain Al-Abidin. Baginda berdua turut berkenan untuk meninjau sekitar muzium berkenaan selain menyaksikan tinggalan sejarah.
Muzium berasaskan seni bina Bugis ini mengumpul dan memelihara pelbagai airifak, dokumen serta monumen berkaitan Kota Lukut. Kehebatan Kota Lukut ini, yang dibina Raja Jumaat pada 1847 bagi melindungi aktiviti perdagangan bijih timah suatu ketika dahulu. Muzium ini mula dibuka pada 9 April 1999 dan mempunyai 4 galeri meliputi sejarah Lukut, sistem politik, perusahaan dan ekonomi serta kebudayaan.

Friday, March 19, 2010

SULTAN SELANGOR TIDAK HADIR KE MESYUARAT PERKASA


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak berangkat hadir merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang dijadualkan berlangsung diadakan pada 27 Mac 2010.
Pada asalnya baginda telah berkenan hadir berangkat dan menyampaikan titah perasmian selepas mengambil kira perjuangan Perkasa yang mempertahankan institusi raja, kemuliaan agama islam sebagai agama rasmi negara serta hak-hak orang Melayu dan Bumiputra.
Pembatalan ini bagi mengelakkan di salah tafsirkan dan dimanupulasikan oleh pihak-pihak tertentu terutama dalam keadaan politik sekarang serta pertubuhan ini di terajui oleh Datuk Ibrahim Ali yang juga seorang ahli politik selaku presidennya.
Walau bagaimanapun, baginda tetap berharap mesyuarat ini dapat berjalan dengan lancar dan Perkasa akan menjadi sebuah NGO yang berintergriti.

Monday, March 15, 2010

TENGKU ANIS BERDUKACITA

Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid melahirkan perasaan dukacita dan kecewa dengan sikap pemimpin negeri Kelantan yang tidak melawat Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Mounth Elizabeth, Singapura.
Ini merupakan kemunculan pertama baginda di khalayak umum selepas mengiringi kepulangan Tuanku Ismail Petra pada 4 Mac lalu. Majlis Solat Kesyukuran dan Sambutan Maulidul Rasul di Dewan Kompleks Majlis Agama Islam Panji, Kota Bharu turut dihadiri kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra.

AGONG RASMI PARLIMEN

Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir untuk merasmikan Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 dengan penuh adat istiadat.
Baginda juga melahirkan rasa dukacita baginda terhadap Ahli Parlimen (MP) yang mempamerkan tingkah laku yang mampu menjejaskan imej mereka sebagai wakil rakyat.
Seri Paduka bertitah, sejak dua penggal berturut-turut baginda sudah mengingatkan Ahli Parlimen supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji di dalam Dewan Rakyat.
Tuanku Mizan juga dukacita kerana masih terdapat banyak perbuatan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta terutamanya dalam media baru.
Seri Paduka turut mengalu-alukan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk memerangi gejala rasuah dan berharap rakyat akan terus memberi sokongan selain melaporkan jenayah tersebut dengan penuh tanggungjawab.
"Sehubungan ini, Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat sedang digubal bagi melindungi pengadu yang membuat pendedahan," titah baginda.

Saturday, March 13, 2010

TENGKU FARIS PETRA PEMANGKU SULTAN KELANTAN


Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra akan terus melaksanakan dan menerajui pemerintahan negeri sehingga ayahanda baginda, Sultan Kelantan, Tengku Ismail Petra sehingga sihat sepenuhnya.
Sultan Kelantan yang gering masih menjalani rawatan susulan dan belum berupaya melaksanakan tugas hal ehwal berkenaan negeri.
Pemangku Raja serta adinda baginda, Tengku Bendahara, Tengku Faiz Petra amat berharap ayahanda baginda akan sembuh segera dan kembali menguruskan hal-hal peribadi serta hal ehwal berkaitan pentadbiran negeri di masa akan datang.
Kedua-dua putera ini juga berharap baginda dapat sembuh seperti sebelumnya dan berharap tidak ada rakyat yang mudah mempercayai sebarang khabar angin.

Tuesday, March 9, 2010

SULTAN KELANTAN FAIL PERMOHONAN CERAI ISTERI KEDUA


Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra hari ini memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua baginda, Che Puan Elia Suhana Ahmad, di Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bahru. Peguam Sultan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata beliau dan rakannya Abdul Halim Bahari telah memfailkan permohonan itu pada jam 3.30 petang.
"Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Elia Suhana binti Ahmad yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana pada 12 Feb 2010 di hadapan beberapa orang saksi," katanya.
Permohonan pengesahan cerai ini difailkan oleh seorang wanita bernama Nik Rohana Wan Abdul Rahman, 60, yang bertindak sebagai plaintif.
Dari segi prosedur, pendaftaran permohonan pengesahan cerai ini sah tanpa mengira individu yang memfailkan kes ini walaupun bukan Sultan Kelantan.











Monday, March 8, 2010

BENTLEY DBG 1 DITUNTUT TENGKU FAKHRY

Tengku Fakhry, Tengku Temenggong Kelantan mendakwa, melalui perjanjian pesanan kenderaan bertarikh 23 April 2008, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra telah memesan kenderaan berkenaan daripada Malayan Motors. Dakwa plaintif, beliau telah menguruskan semua urusan rasmi berhubung kenderaan tersebut termasuk jenis tayar, speaker, brek, Bluetooth telefon dan radiator dengan penjual.Menurutnya lagi, meskipun kenderaan itu didaftarkan atas nama ayahandanya namun keseluruhan wang pembelian S$706,880 (RM 1.7 juta) dibayar oleh beliau. Sebaik sahaja bayaran diterima, penjual telah mengeluarkan resit rasmi sebelum menghantar kenderaan itu dari London ke Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Dakwa Tengku Muhammad Fakhry, kenderaan itu pada setiap masa berada dalam posisi eksklusif sama ada di istana mahupun kediaman beliau di Jalan Tun Razak, di sini. Namun pada 18 Julai tahun lalu, plaintif mendakwa, defendan melalui ejen atau pekerja mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran beliau telah mengambil kenderaan itu ketika beliau berada di luar negara. Kenderaan tersebut dibawa balik ke Istana Mahkota di Kubang Kerian. Tengku Muhammad Fakhry mendakwa, pada pukul 5.45 petang, 30 Julai tahun lalu, beliau telah pergi ke istana untuk mengambil kenderaan tersebut tetapi dihalang oleh polis atas arahan defendan. Dalam permohonan yang dikemukakan, plaintif turut memohon perisytiharan bahawa kenderaan itu yang telah dibeli untuk kegunaan dirinya dan ayahanda, adalah milik beliau. Perisytiharan lain yang dimohon adalah defendan tidak berhak kepada kereta Bentley itu dan penahanannya oleh defendan adalah tidak sah. Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ibni Sultan Ismail Petra telah mengemukakan saman pemula untuk menuntut perisytiharan bahawa sebuah kereta mewah buatan Bentley dengan harga belian S$706,880 (RM1.7 juta) adalah miliknya secara mutlak.Tengku Muhammad Faris Petra bagaimanapun telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula adindanya ini.

Monday, March 1, 2010

TUNKU TEMENGGONG JOHOR


Tunku Idris Ibrahim diisytihar sebagai Tunku Temenggong Johor oleh ayahndanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Baharu, Johor.
"Sempena sambutan hari yang mulia ini, pada fikiran saya, adalah molek untuk saya melantik dan menjadikan anakanda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah baginda di hadapan kerabat diraja, pentadbir negeri dan seluruh rakyat yang hadir.
Berangkat pada sambutan itu, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Idris dan kerabat diraja yang lain.
Tunku Idris, 22, yang berkhidmat dengan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pernah menempa nama dengan mengetuai lintas hormat enam pesawat udara sempena perarakan sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak pada 2007.
Lintas hormat itu menggunakan helikopter EC120 yang diiringi dua helikopter EC120 lain, sebuah pesawat jenis Socata TB10 dan dua buah pesawat Eagle 150B buatan Malaysia.